Monday, September 9, 2013

Hidup Bersama (In Tribute To A. Samad Said)

Apa jadi kepada anak-anak kita?
Saat kita berjaya mendabik dada memandang ufuk
yang terbenam di lereng pipi gunung harapan
Petaka menimpa diri mereka
Lalu terlupa sejarah, asal usul mereka
Ilmu yang cetek dan emosi yang berombang-ambing
seperti ombak di lautan
Fikiran yang lemah dan mudah diracuni
Kini menjadi sesat dalam perjalanan hidup
Sepertinya tidak tahu lorong mana yang harus dilalui

Apa jadi kepada anak-anak kita?
Apa pendidikan yang kita berikan?
Jika bukan di dalam kelalaian
Mereka bersatu di dalam permusuhan
Mereka bersatu untuk menjatuhkan
Di dalam politik dan perjuangan yang terburu-buru

Kemudaan perlu mendidik persefahaman
Bukan memilih persaudaraan yang ruai
Lemah umpama lalang yang ditiup angin kelmarin

Hidup bersama
Tidakkah warna kulit yang perlu kita ketepikan?
Bukan warna bendera yang dikibarkan
Tidakkah bahasa pertuturan yang perlu kita lompati?
Bukan bahasa politik yang kadang meracuni
Kerana Malaysia ingin tidur tenteram dan aman
Lalu jaga di pagi hari dengan ketenangan
Andai kita dapat memahami erti kawan
Di sebalik sengketa yang bertimbun-timbun
Di belakang kepercayaan yang harus dipegang kukuh
Kemudian kita boleh bertolak ansur
Maka suburlah bumi Malaysia dengan senyuman
Dari wajah anak-anak kita
Yang mampu berdiri berbeza bangsa
Namun senang hidup bersama

No comments:

Post a Comment