Sahirah
Rangkap 01: Senandung Puteri Sahirah
Rangkap 02: Mengejar Sahirah Di Puncak Radhwa
Rangkap 03: Dongeng Mimpi Sahirah
Rangkap 04: Cerpen Sahirah
Rangkap 05: Bidadari Yang Lalu Di Hati Ku
# 01
puisi bermula dengan kalimah
dengarkan huruf amatur ini bernada
mendodoikan debar di lewat malam
ku mohon tataplah ke atap awan
dalam kelabunya ada terompah rindu
yang tidak akan terubati ke akhir waktu
kerna kekasihnya si rembulan
tidak mampu terbit seperti selalu
sejuk siang akan dikucup suam mentari
namun malam hanya ada goresan luka
pada langit yang dihujani titis air mata
ah, cinta adalah kasta jarak di antara kita
memisahkan kilometer ini lebih jauh
lalu disebalik sedu-sedu kabus ini
aku sudah tidak nampak kepada mu
zahir itu menjadi bayangan lalu hilang
lihatlah para bidadari taman aruna
mencitra arti keindahan ghairah manusia
mencuri degup-degup jantung ku
memendekkan nyawa yang singkat ini
konklusinya aku akan mati
di bawah panji puspamaya
yang membelai katil ku di tengah mimpi
di tengah malam
# 02
jika aku dapat menyusun aksara di para para dapur hati mu
pasti aku akan cuba menuturkannya sepatah demi sepatah
dengan rebasan dakwat arjuna dan coretan pena kirana
tapi aku cuma ada syahdu semalam yang hanya mampu membisu
aku tidak akan mampu pendar, sebaliknya hanya buntu
sekalipun tidak dapat menyentuh nama mu, gadis
tidak dengan jari jemari ini, tidak dengan ujaran lidah ini
rasa ini berulang-ulang bermain di hati ku
aku akan menulis untuknya walau jutaan kali
sehingga lembaran kertas dipenuhi, aku buka lembaran baru
dan rasa ini tidak akan kontang walau ratusan abad
ianya adalah laut jiwa ku, andai ia ingin surut dan cetek
maka hadirnya saat itu adalah akhir nafas dari jantung ku
andai ia ingin kiamat, maka itu adalah saat lelap abadi ku
fahamilah cinta mempunyai sastera yang paling indah
cuma saja tiada bahasa makhluk yang mampu menjadi potretnya
sekiranya jiwa mu bisa meluas mendakap semesta
menaiki syurga dengan derap-derap cinta kudus
lalu menyambut ciuman rintik gerimis dengan semarak embun
maka kau akan mendengarnya, maka kau akan mengerti
cinta adalah bah yang membanjiri setiap sudut-sudut bumi
cinta adalah bah yang membanjiri malah hati ku, malah hati mu
ku deklamasikan puisi ini buat mu, buat waktu, dan buat semu
kerana aku tidak sengaja merindu hari kelmarin saat mendamping mu
dan hari esok yang mungkin akan bertemu dengan sosok itu lagi
# 03
penjara itu adalah saat aku tidak bersama mu
majnun itu ialah bibir ku yang berulang kali mencari
aku catatkan puisi buat mu di atas pasir-pasir ini
setelah selesai, aku akan melangkah pergi
dan di belakang ku, bait puisi itu akan dihembus angin
lalu kembali menjadi tanah tandus yang kemarauttapi cinta ku telah dititipkan ke dalam surat putih
esok akan sampai kepada diri mu berserta dakapan ku
bacakanlah buat berahi rindu yang kau simpan
aku akan hadir, walau sebentar, di kotak kaca tingkap mu
bila senja aku mahu jaga kembali dari lena ku
untuk meneruskan langkah yang bersendiri ini
kembali ke dalam realiti, menulis semula elegi-elegi
berhenti bermimpi, sekali lagi, engkau tidak kenal aku
semua ini hanya lakaran fiksi dirangka oleh pena angan
ianya hanyalah trilogi, ianya hanyalah tersina
rangkap pertama adalah kematian ku di gurun ini
rangkap kedua adalah ucapan-ucapan bersama mentari
rangkap ketiga adalah diri mu sendiri
akan ku tamatkan jua tersina ini suatu saat nanti
dengan ghazal yang akan berlagu dari tekak yang kering
hanya apabila badan aku ini terbaring gering
namun di dalam sonata ini aku masih mahu menambah kauda
tentang bagaimana seumur hidup ku ini, hanya sekali
aku dapat melihat engkau hadir di hadapan ku
tapi rindu ku kepada mu, bertemu mu sepanjang waktu
# 04
jujur ku katakan,
pendek,
cerita yang dapat ku tulis tentang kita,
kerna di antara aku dan kamu, hanya perpisahan,
dan dalam perpisahan, tidak banyak yang perlu diceritakan.
# 05
Sahirah, nama mu,
yang aku berikan sendiri,
kerna aku tidak sempat mendengar nama mu yang sebenar
mengertilah, ku ini orang tidak tahu apa-apa; hanya menurut kata jiwa
dan jiwa ku berkata; jadikanlah kau, bidadari, yang lalu di hati ku.
tapi kini, sudah cukup tarikh luput akan rawan ku kepada mu,
dan nama mu perlu kembali ke halamannya, maka selamat jalan Sahirah,
lupakanlah padang lapuk yang kau lalui ini.