Thursday, February 27, 2014

Cinta Hakiki

Tiada lentok lidah
Tiada tarian pena
Atau lirik cendera
yang mampu menutur
Bicara terindah
kepada kekasihnya
Jika kekasih itu
Bukan Yang Sejati

Sunday, February 9, 2014

Kesumat Bahaduri

Mencari indahnya sastera tidaklah semudah
Tidaklah sebentar
Lereng yang harus dilalui penuh ujian dan payah
Denai yang sering disusuri penuh buaya, penuh bahaya
Penuh susah, penuh derita
Namun jua penuh cinta, penuh mulia, penuh cerita.
Wahai sang penulis, yang dakwatnya telah hampir habis
Wahai kekasih sekeping kertas
Wahai kekasih sebatang lilin di tengah malam
Jangan berhenti
Sehingga engkau ketemu suci, luhur jalan tuan puteri
Puteri sastera anak Raja bahasa
Tanamkanlah akar cintamu sedalam yang mampu
Teduhi ia, dan sirami dengan ilham yang sopan
Diteduhi ia dengan ibadah dan pemerhatian
Lakarkanlah, karya itu menjadi sketsamu
Selayaknya darjatmu agar setinggi Raja dan Gundiknya
Sehingga engkau bertemu Sang Puteri
Kekasih dalam setiap puisimu.

Saturday, February 8, 2014

Musim Bunga Di Akhir Kucupan

Musim semi telah berlalu,
Bunga terakhir kulihat akhirnya layu,
Kini mulai musim tulis,
Zamannya tukang puisi menjela tangis,
Musim ini hanya untuk memujuk rawan,
Kesunyian yang kerap kali hadir,
di tepi tebing perhubungan orang bercinta,
Tukang puisi sendirian memerhati kasih sungai mengalir,
namun kekasih sudah lama mendayung ke muara.
Dia hanya sendiri, si Tukang Puisi, cuba meraih aksara,
Mencari kalimah-kalimah buat santapan hati,
Karya yang cukup indah sebagai alasan untuk mati,
Kerna ini musim tulis,
Kerna ini musim tulis,
Waktunya dia mencari tenang, dari segala pedih kisah lampau.
Namun bukan untuk melupakan kekasih yang telah hilang,
Kerna walau dicakar tubuh berdarah oleh harimau belang,
Tidakkan tercalar walau sedikitpun rasa cinta dan sayang.

Thursday, February 6, 2014

Bezantara Aku dan Dia

walau mampu bertentang mata,
menatap wajah mu di hadapan ku,
apakan daya hamba bertata?
pengemis kedana di kaki bayang mu.

Lara Yang Mengajarkan

kesedihan mengajar kita sopan
bukan kerana pedih yang membuat jiwa tofan
tapi kerana kebenaran dan melatih kesabaran
kerana manusia ini memiliki setan
namun saat sedih dia akan bersendirian
mengenang tiap kesalahan, mengenal Ar-Rahman,
lalu setan tunduk, 
bersinarlah iman.

Pantun Petang

menulis pantun di waktu senja,
sambil minum kopi O susu,
senyumlah selalu Oh saudara,
jangan dibiar hatinya lesu.

menatap langit yang sedang hujan,
duduk di bawah pohon yang rendang,
hidup ini memang penuh ujian,
tapi yang sabar, tetapkan tenang.

menutup buku setelah sudah,
kembali ke sawah menuai padi,
hilangkan gundah, hilangkan resah,
ucap Alhamdulillah, syukuri hidup ini.

Petah Lidah Harus Tidak Kerap

sedang punai 
tidak sering bersiul
ada waktu ia kena tidur

Cinta

Bahasa ku kebisuan berdekad
Menekad rahsia tiada rehat
Bahasa ku kasta cinta
Mengejar puteri di tingkap istana
Bahasa ku langkah tergari
Memberat tapak di muka bumi
Bahasa ku hujan tak hapus
Menyembuni di dalam kabus
Bahasa ku adalah aku
Ku senyapkan di benak rindu
Bahasa mu adalah penawar
Madu pemanis air yang tawar
Dan apabila malam sayu berlabuh
Nama mu menyelimuti dingin subuh.