Monday, August 26, 2013

Coretan Dakwat Cinta - Para Ahli Puisi (Cerpen 1)

ku cuba simpan semua memori ku akan kamu - yang mana termampu
dan memori ini menjadi tapak ku - ku bawa dalam setiap langkah ku
walaupun kamu tidak akan tahu
jauh di sebalik senja di tempat mu - ada seorang lelaki
yang akan sentiasa merindu mu, sepanjang waktu.

nama aku, 
azzan. aku pernah terbaca sebuah novel, novel itu menceritakan kisah cinta Qaisy dan Laila.
Qaisy menjadi majnun. kerna terpaksa berpisah dengan kekasih yang amat dicintainya.
apa itu majnun? majnun itu gila.
dan aku ini, aku ini ialah majnun. bezanya majnun ku hanya sedikit.

wahai kekasihizinkan aku memujimu
kamu ibarat tebing di puncak gunung - melalui kamu ku terlihat pelbagai keindahan,
namun kerna terlalu tingginya puncak itu - maka cinta mu turut menjadi terlalu mahal.

"gambar siapa ni?", tanya ku kepada shariff, sahabat ku.
"tidak tahu, jangan tanya.", jawab shariff singkat sedang enak meneguk air.
gambar yang ku lihat itu adalah gambar kamu. di dalam sebuah poster yang terlekat di dinding-dinding kolej.
"Jauharah", kata ku, membaca nama mu. pemenang pertandingan puisi.
"bro, jom gerak. aku mahu tidur.", panggil shariff. kemudian aku dan shariff pun melangkah pergi dari situ.

wajah mu adalah seni yang indah
terlalu indah, potretnya ku lukiskan pada nafas ku
hingga kini masih kekal di situ
---
nama mu pula terlalu istimewa
ku tidak mampu berpisah walau sepatah daripadanya

22 April 2011, Karnival Kesenian Islam di kolej kita. hari itu kamu terpilih untuk membacakan puisi yang kamu tulis. kamu berdiri di atas pentas sana, pakaian mu serba putih. aku ini rabun dan aku duduk di bangku yang belakang. ku perhatikan gerak geri mu dengan penuh perhatian. punggung ku ke kiri dan ke kanan mengejar langkah mu di atas pentas. sangat seronok. sangat sangat. namun, sungguh, aku tidak dapat melihat wajah mu dengan jelas. tapi tidak mengapa, kerna hari itu, kamu membuat aku jatuh cinta kepada suara mu.

aku pernah dengar bunyi buluh perindu
aku pernah dengar alunan muzik yang merdu
tapi tidak seperti suara mu
yang berbunyi bukan sahaja pada telinga ku
tapi juga dalam rasa dan hati ku

aku sedang dalam perjalanan pulang ke bilik ku pada waktu tu. aku melangkah dengan perlahan seperti mana malasnya perangai ku. kelas ku pada hari itu baru sahaja selesai. kerna itu aku terasa penat dan mahu tidur. langkah demi langkah, tanpa sedar, aku sudah hampir tiba di kafe. terasa hendak berpaling ke belakang, lalu aku pun berpaling.
dan di situ kamu, berjalan di belakang ku. selangkah sahaja. jarak kita hanya sejauh satu langkah sahaja.
kamu membuat jantung ku gugur akibat terkejut. sungguh aku tidak terfikir akan bertemu kamu sebegitu dekat.
kamu melangkah pantas, sepertinya sedang mahu cepat. sepintas lalu, aku dapat melihat wajah mu. kali ini dengan jelas. kemudian kamu berlalu, dan itu kali terakhir aku melihat kamu.

puisi bukan sekadar satu deklamasi
namun ramai yang menyangka sebegini
bagi ku puisi adalah kecantikan yang tidak dapat dizahirkan
kerna itu para ahli puisi hanya dapat menulisnya
puisi adalah bahagian daripada diri mereka
bahagian yang telah hilang - cebisan yang tidak dapat dijumpa
maka bagi ku begitu juga - itulah puisi
dan kamu, kamu adalah puisi

sekarang ini, aku sedang bersembunyi. aku dikejar oleh penagih hutang, ALONG. kalau mereka dapat menemui aku, pasti mati aku dibelasah. hidup ku kini bukanlah hidup yang paling buruk, cuma saja hidup ini bukan juga yang terbaik.
aku masih ingat saat terakhir bertemu kamu sewaktu aku sedang dalam perjalanan pulang ke bilik ku. sepanjang hidup ku ini, aku cuma dapat melihat kamu sebanyak tiga kali. tapi aku tetap mengingati mu. realitinya, cinta ku bukan lagi cinta yang bertepuk sebelah tangan. malahan cinta ku adalah cinta yang langsung tidak ada tepukan. namun, biarlah, kerna bagi ku, cinta ini hanya bahagian daripada peristiwa dalam kehidupan. tercapai ataupun tidak bukanlah kuncinya. cinta ku kepada mu menjadi santapan jiwa ku yang sedang rindu. kadang terasa ingin menggapai mu, tapi itu adalah mustahil. tidak mengapa, biarlah begini, walaupun aku hanya mempunyai cinta di dalam fantasi.

di antara sepi dan rindu
adalah cinta dan nafsu
rasa yang ku miliki kepada mu juga begitu
sebahagian untuk mu adalah cinta
dan sebahagian yang untuk ku adalah nafsu

cinta bukan permainan untuk berdua
kerna HakikatNya hanya satu

cinta adalah nafas kehidupan
cinta adalah koleksi keindahan
cinta tersimpan dalam kesunyian
namun bercahaya dengan begitu terang
ia hidup dalam madah
memberi rasa dalam kalimah
sungguh, cinta memang untuk semua,
namun, ia juga adalah satu rahsia.

No comments:

Post a Comment