Monday, August 26, 2013

Bait Cinta Si Jahil

Kau umpama suluh mentari,
melampukan kelam ketika pagi,
mengucup suam ke dalam hati,
dan nanti kau akan terbenam kala petang,
meninggalkan potret yang menjemput tenang.

Kau umpama embun cahaya rembulan,
menarik tatap dan membawa kerinduan,
di dalam ambang cahaya yang terang,
membuat mata ini tidak melihat selain kau seorang,
indah yang hadir dipagari bintang.

Kau umpama lirik-lirik yang sangat merdu,
kekal lunak sepanjang waktu,
akan didakap erat suara mu itu,
lalu disusun menjadi lagu,
tersebar ke seluruh alam ia bertamu.

Kau umpama seni terindah,
menumpaskan kukuh istana kaca,
tempat mu adalah di galeri cinta,
kemudian didudukkan di atas singgahsana,
kerana seni mu terlalu istimewa,
mustahil luput walau ke akhir masa.

Mereka menuduh mu sama seperti orang biasa,
tapi sebenarnya tidak mungkin akan bisa,
kau nur yang bercahaya,
sedangkan kami tanah yang hina,
kau kekasih yang paling utama,
sedangkan kami nafsu yang merona,
kehadiran mu tidak akan ada yang sama,
walau terhimpun berjuta manusia.

Teringat ucapan Saidatina Fatimah r.a yang kerinduan,
di sisi maqam mu dia bersendirian,
air matanya yang suci jatuh bertitisan,
di situ dia mengadu tentang keresahan,
andai jatuh resah itu ke atas gunung maka akan runtuhlah dan musnah,
andai jatuh resah itu ke bumi maka akan gelaplah seluruh dunia,
resah yang hadir setelah satu kewafatan,
seorang ayah dan pemimpin insan,
manusia teragung rahmat terbesar dari Tuhan.

Namun aku umpama pohon yang sudah layu,
dahan ku reput dan daunnya berguguran,
menghempas tanah ia kekeringan,
sedangkan kau adalah taman-taman syurga,
tetapi untuk pohon yang hina, di situ bukanlah tempatnya.

No comments:

Post a Comment