Monday, August 26, 2013

Ah, Seperti Ogos Sekali Lagi - Para Ahli Puisi (Cerpen 2)

assalamualaikum, aku bukanlah pakar dalam bermadah,
kerna ku dengar, ramai sungguh yang lentok lidahnya begitu petah,
sedangkan aku hanya jejaka yang bisu,
tapi hati ku ini ingin menuturkan ribuan rasanya yang sudah lesu,
lesu dengan satu rasa yang membatu,
ya, cinta. yang menombak lembing rindunya ke angkasa,
dan itulah satu-satunya madah yang mampu ku bicara.

20 Januari:
seperti biasa, hari ini aku bangun lebih kurang dalam jam 7 pagi. ya, ku tinggalkan subuh sekali lagi. aku berdiri, mengemas tempat tidurku, menggosok mata, berdiri sepi seketika, melangkah ke tandas, berus gigi dan cuci muka. kemudian, aku turun ke dapur untuk sarapan. selepas inilah baru mandi. dari tingkap di sebelah ni, aku nampak si posmen sibuk menyelongkar peti surat rumahku. ada surat baru nampaknya. ok. selesai sarapan, berbekalkan secawan teh di tangan ku, aku melangkah pergi untuk menyambut surat-surat baru.
..."surat ni tidak perlu. surat ni pun tidak perlu. oh, bil sofa dah sampai! simpan. ok, surat yang ni tidak perlu. surat dari hospital, hmm, simpan. surat urusan seri paduka baginda?? hmmm.. simpan. dan ini tidak perlu. dan ini simpan. ok. settle"
sekarang masa untuk bersiap pergi kerja.

perlahan-lahan ku perhatikan langkah kaki ini,
setapak demi setapak membantu aku berdiri,
sungguh, mengapa langkah ku tidak sama seperti orang lain?
pijakannya lemah dan tiada yakin.

tahukah kau? jantung ku rupanya mendegupkan nama mu,
pejam ku melukiskan senyuman mu,
angan ku adalah coretan lirik rindu,
dan melodinya bernada di setiap langkah ku.

07 Februari:
dalam perjalanan pulang dari kerja. sememangnya laluan ni akan jammed pada waktu-waktu sebegini. jadi perjalanan pulang boleh mengambil masa dari 1 jam ke 1 jam setengah. tidak apalah, aku guna masa ni untuk makan ubat. kemudian, aku menoleh ke sebelah kanan ku, terlihat seorang anak kecil dari kereta di sebelah ni.
"hello~~", lambai ku. namun, si anak kecil itu hanya memandang kebingungan.
"siapa pakcik ni??", mungkin itu fikirnya. 
namun tiba-tiba, aduh, suara mu pula, berbisik lagi.

memori bagiku ibarat makhluk ghaib
kerna ia sering membisik di kala jiwa ku maghrib
gadis, hadir mu tersangat manis
tiada dapat diganti walau bertahun menangis
sayang saja, kerna rindu pula yang terlalu tragis
hati yang sirna terasa bagai dihiris-hiris
mengejar masa lampau, kerja yang tidak akan habis
langkah berjuta, hanya sejauh air mata yang menitis

18 Februari:
di tepi tasik inilah tempat kita sering bertemu. kerna itu sekali-sekala aku akan ke sini. tidak terlalu kerap, dalam 2 - 3 bulan sekali. sekadar ingin menghirup udara segar sahaja. tidak silap aku, lebih kurang 2 minggu lepas tasik ini dibersihkan serta kawasan sekelilingnya juga dan tasik ini juga sudah banyak perubahan. di sebelah sana, mereka letak 2 buah pondok yang baru. di sebelah situ, pohon-pohonnya sudah banyak ditebang untuk dibuat tapak gerai dan taman permainan. bangku-bangku di tempat ini sudah ditambah. lorong pejalan kakinya sudah dipertambahbaikkan. sekarang makin ramai orang berkumpul di sini. masing-masing dengan tujuan sendiri.
fuhhh..oh, dan jangan fikir aku lupa. ini juga adalah tempat kita membuat kata putus untuk berpisah.

tiada banyak yang boleh dibicarakan tentang perpisahan,
ia hanya satu peristiwa yang tidak memerlukan penjelasan.

12 Mac:
aku pernah berkata, saat hujan ertinya aku sedang rindu. sememangnya itu cuma angan-angan, kiasan, orang yang dilamun cinta. tapi sekarang sedang hujan. aku hanya dapat merasa dingin kesejukan dan mendengar lagu air langit bertitisan. serta beberapa sendok ingatan masa lalu.
ahh, kita banyak bergaduh. terlalu banyak sehingga perkara yang kecil pun boleh dibuat jadi sangat besar. bermula daripada pergaduhan mulut, akhirnya tangan pun sampai. bermula daripada pergaduhan yang sementara, akhirnya mencecah berminggu lamanya. maka akhirnya lebih baik berpisah daripada terus menyakiti. namun, akan adakah cinta yang tidak membuat permintaan ke atas yang dicintainya?
alamak, terlalu berangan, aku jadi lupa untuk makan ubat ku.

perhubungan itu punya pelbagai warna
putih adalah warna kesucian yang nyata
biru adalah warna kelembutan dalam rasa
hijau adalah kebijaksanaan bercinta
merah pula adalah pengorbanan yang tiada tara
dan kuning adalah istana dalam janji bersama
tetapi kita,
kita adalah hitam, ertinya kereputan dalam percaya.

27 Mac:
aku terbaring di atas katil hospital ini sudah berminggu. doktor menyebut hanya beberapa hari lagi. penyakit kanser ku ni sudah tidak dapat diubat kerna keadaannya sudah begitu kritikal. aku mengalami penyakit ini beberapa tahun selepas kita berpisah. aku menghidapnya mungkin sudah 7 bulan, jika dikira bermula dari tarikh aku pertama menyedarinya yang juga pada waktu itu sudah terlambat untuk diubati. ironinya ialah, kenapa saat diri merasa lemah barulah aku sedar kesilapan ku?
aku tidak tahu kamu berada di mana sekarang. apa yang kamu lakukan? dengan siapakah kamu sekarang? tapi itu semua tidak penting. kerna Tuhan ada pengaturanNya sendiri terhadap hidup mu.
wah, memori ogos datang singgah di minda ku sekarang ini. membuat aku tersenyum sendiri. sewaktu itu kita menyambut hari jadi mu. namun, itulah kali terakhir kita berkongsi memori yang seronok bersama. selepas itu, gempa bumi dan pertelingkahan. betapa aku ingin kembali ke masa lalu. sekadar untuk memadam memori air mata mu. menarik semula dajal ku. memohon kemaafan. dan sekali lagi melihat senyum mu.... ah, seperti ogos sekali lagi.

di atas fana ini aku,
kembali mencoret kisah lalu,
akhirnya hanya mengundang risau,
saat selepas lidah menjadi pisau,
bagaimanakah keadaan engkau?
dan tangis yang tidak kau tunjukkan,
dan luka hati yang kau sembunyikan.
namun aku, aku adalah pujuk yang buta.
kerna tiada terlihat air mata mu, yang tersisip di antara kata.

28 Mac:
gadis, aku adalah penyesalan yang menjumpai ubat hidup abadi tetapi termakan racun yang menjemput mati. aduh, rupanya sudah banyak sungguh aku bercerita. akhirnya cuma membuat aku penat. untuk itu, ku mohon, izinkan aku untuk lelap. dan gadis, maafkan aku.

manusia,
hidup berpandukan hati,
hatinya berkuntum ketika musim percintaan,
cintanya berakar di tanah kematian,
matinya adalah angan dan khayalan,
khayalannya adalah rindu yang rawan,
dan rindunya adalah hakikat yang nyata,
saat nafas disesakkan dengan takwa,
saat nanti bertemu denganNYA.

No comments:

Post a Comment