Sebagai penghormatan kepada puisi tulisan Tun M bertajuk: Perjuangan Yang Belum Selesai
diolah dengan pengkhususan kepada anak muda
Setitis embun jatuh mengucup kerak pada lantai bumi
mustahil menjadi hujan buat penyembuh dahaga
tekak anak muda kekeringan, menjadi korban, fitnah patriotisme
dekad yang dinikmati daripada darah para nenek moyang
menjadi semurah kelancangan bibir yang tidak belajar
Perjuangan belum selesai, merdeka belum tercapai
kebebasan yang dilaungkan adalah pagar penjara ghaib
penjara hati dan minda, anak muda yang ekstrim dan ternoda
ternoda fikirannya dengan fitnah sang panglima dari neraka
pejuang yang diagungkan hanya peludah bangsa mereka
ia membisik dalam kekeliruan sentimen bangsa dan agama
Keris telah tumpul kerna tidak diasah sekian lamanya
keris telah tumpul kerna tiada Hang Tuah yang menggenggamnya
semangat terbiar luntur, jati hilang luhur, tanah subur jadi lumpur
ke mana pergi hasil tanaman benih kelmarin?
Ia tidak tumbuh menjadi bunga yang subur nan indah
sebagai penghias taman, di sisi tampuk kepimpinan negara
Anak muda yang liar dan berkeliaran, mencari jalan singkat hidup
keseronokan dan hiburan mencetekkan akal yang menjangka
ia telah pintar; walhal pabila dipujuk angin ia ikut ke barat
dan pabila dipujuk bayu ia ikut pula ke timur
anak muda ibarat lalang. berbangga kepada teguh akarnya
tapi tiada sedar, jalannya masih tak tentu arah
Selang tahun, lahir pemimpin baru, namun ternyata semakin pincang
semakin cacat benih yang ditanam kelmarin, taman tidak terjaga
angkuh kuasa dan megah selesa, tidak seperti susah dijajah dan pedih dihina
menanam padi di atas bukit tak seperti menanam padi di sawah bendang
maka bagaimana? Agar lahirlah kembali anak muda harapan bangsa
yang akan teguh dipukul ribut dan akan tabah ditusuk pedang
Perjuangan yang masih belum selesai, tidak memenatkan
kerna tiada yang lebih menyayat hati dari melihat bangsaku dijajah
dan tiada lebih menyedihkan dari membiarkan bangsaku dihina
tiada yang lebih bermakna, sekiranya bangsa yang dicintai
dipinggir dan dilupakan...
bangkitlah anak muda negaraku, bangkit dari enak tidurmu
genggamlah keris tumpul ini, kasih cinta pada anak bangsa....
Abie Nazrullah, 2015
Taman Aman Jaya,
Lahad Datu.
No comments:
Post a Comment